WANITA yang sihat bukan saja membahagiakan dirinya sendiri tetapi keluarga, tetapi faktor usia, melahirkan anak selain hormon, gaya hidup dan ditambah sikap tidak suka bersenam, seseorang wanita akan berhadapan pelbagai masalah kesihatan berkaitan otot pelvis (atau disebut otot PC – pubococcygeus)
Sesetengah wanita berpendapat kaedah terbaik mengatasi masalah itu adalah menerusi pembedahan. Bagaimanapun sebelum berbuat demikian pelbagai perkara harus difikirkan termasuk keinginan mendapatkan anak dan otot pelvis lain mungkin terjejas.
Justeru, langkah pertama yang harus anda fikirkan adalah bersenam dan mulakan segera.
Sesetengah orang memahami senaman lantai pelvis khusus untuk nikmat seksual dan terhad kepada wanita saja. Sebenarnya senaman lantai pelvis atau dikenal juga sebagai senaman kegel bermula sebagai senaman untuk wanita yang berhadapan dengan masalah terkucil atau gagal mengawal air kencing selepas melahirkan anak. Ia senaman khusus untuk menguatkan otot pelvis dan lelaki juga sepatutnya melakukannya kerana mereka juga kerap berhadapan dengan masalah sama.
Sebahagian tubuh manusia termasuk tulang pinggul berada dalam kawasan pelvis. Di bawah pelvis ada beberapa lapis otot merintang antara dua kaki. Otot itu berkait dengan bahagian tulang depan, belakang dan sisi pelvis.
Dua otot pelvis ini – otot yang besar seakan berbentuk buaian manakala satu lagi seakan berbentuk tiga segi melakukan hampir semua tugas. Ia berfungsi mengekang kebocoran air kencing dan najis.
Justeru, senaman lantai pelvis ini dicipta hampir 58 tahun lalu oleh doktor perbidanan dan sakit puan, Dr Arnold Kegel, bagi menguatkan otot PC, otot bersilang sekeliling anus dan kelenjar prostat.
Ketika itu Dr Kegel mendapati senaman ini berupaya merawat pesakit wanita yang menderita masalah ketidakupayaan mengawal pundi kencing. Walaupun sudah berusia 58 tahun, senaman ini diiktiraf doktor sebagai senaman yang memberi faedah kepada lelaki dan wanita yang berhadapan dengan masalah itu.
Mungkin anda biasa mendengar keluhan ibu bapa atau mungkin rakan sebaya yang akan terkucil ketika batuk, bersin atau mungkin juga ketawa. Kebanyakan masalah ini dihadapi wanita yang kerap bersalin selain golongan berusia. Justeru tidak hairan jika di Amerika Syarikat saja AS5.2 bilion dibelanjakan untuk membeli lampin dewasa.
Semua itu sebenarnya boleh diatasi dengan senaman lantai pelvis. Semakin kerap anda melakukannya, semakin cepat anda berupaya mengatasi masalah.
Sebelum memulakan senaman, pastikan anda mengenali otot pelvis sendiri. Ramai membuat senaman ini dengan otot yang salah. Jika anda rasa tidak selesa di bahagian perut atau belakang ketika melakukan senaman ini, berkemungkinan anda salah dalam melakukannya.
Jangan kemutkan perut atau pinggang atau otot punggung ketika melakukan senaman ini. Elakkan juga dari menahan nafas dan mengetatkan dada ketika mengemut. Pastikan anda dalam keadaan tenang ketika bersenam. Jika anda menggunakan otot yang salah ia akan hanya memburukkan masalah terkucil yang anda hadapi.
Mengenali otot pelvis sangat mudah, jika anda ke tandas membuang air kecil, cuba berhentikan pengaliran air kencing dengan mengemut otot pelvis. Ulang teknik ini beberapa kali hingga anda biasa dengan rasa kemutan kumpulan otot itu.
Disebabkan senaman ini membabitkan otot dalaman, kebanyakan orang memahaminya sebagai senaman menahan air kencing.
Kata Haniza Mokhtar dari pusat kecergasan She’s Fit, di barat senaman yang diperkenalkan Dr Kegel ini cukup popular dan diajar di hospital kepada wanita juga lelaki. Di Malaysia, walaupun ramai mengetahuinya tetapi tahap pengetahuan mereka sangat terarah kepada satu tujuan saja – senaman untuk seksual.
“Senaman lantai pelvis membantu anda mengawal pundi kencing. Kita biasa dengar warga emas yang terpaksa memakai lampin kerana tidak berupaya mengawal pundi kencing. Begitu juga wanita yang kerap bersalin, mereka mungkin berhadapan dengan masalah sama,” katanya.
Katanya, kebanyakan wanita lebih teruja menggunakan rawatan herba seperti mengambil jamu atau manjakani tetapi jika yang bermasalah sebenarnya adalah otot pelvis, tentu lebih baik kita memperbaiki otot itu sendiri.
Senaman lantai pelvis tidak nampak kesan dan pergerakannya secara luaran kerana ia membabitkan otot dalaman tubuh. Kerana itu ia boleh dilakukan dalam pelbagai cara, duduk, berdiri atau pun berbaring di lantai.
“Senaman mudah ini seakan menahan air kencing, tahan untuk lapan saat sebelum mengulanginya semula. Lakukan dua kali sehari dalam tempoh lima minit,” katanya.
Senaman ini tidak diajar di pusat kesihatan tetapi setiap jurulatih kecergasan tahu mengenainya.
Pastikan ketika anda melakukannya pundi kencing tidak penuh dan jangan tahan nafas.
Malah, kerana ia senaman ringkas, anda boleh melakukannya walaupun ketika bermesyuarat! Senaman lantai pelvis ini boleh dilakukan dengan dua cara, senaman cepat dengan otot diketatkan dan dilepaskan dalam tempoh dua saat manakala senaman lambat otot diketatkan antara lima ke 10 saat sebelum dilepaskan.
Dalam masa tiga bulan atau kurang kata Haniza, jika anda bersenam dengan kerap, kesannya akan dapat dirasai.
FAKTA
Enam tanda amaran anda perlukan senaman lantai pelvis
INFO
Langkah senaman lantai pelvis
Duduk
1 – Senaman lantai pelvis sambil duduk. Rapatkan kaki.
2 – Tundukkan kepala dengan merapatkan kaki.
Berdiri
1 – Aksi senaman lantai pelvis sambil berdiri. Berdiri sambil mencekak pinggang.
2 – Tahan nafas selama lapan saat dan lepas. Ketatkan otot sebelum dilepaskan.
Baring
1 – Senaman lantai pelvis sambil berbaring. Berbaring dengan mengangkat punggung sedikit dari lantai.
2 – Sambil berbaring, angkat punggung lebih tinggi. Kemut selama lapan saat sebelum lepaskan ketegangan otot.
3 – Senaman lantai pelvis sambil berbaring. Baring dengan merapatkan betis ke paha.
4 – Angkat kaki rapat ke perut sambil mengetatkan otot selama lapan saat sebelum dilepaskan.
5 – Berbaring dengan mengakkan lutut.
6 – Angkat tangan mencapai lutut dan ketatkan otot.
Aksi dengan bola
1 – Berbaring dengan santai dengan meletakkan kaki di atas bola.
2 – Angkat punggung dan ketatkan otot pelvis selama lapan saat dan lepaskan.
'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan