Wanita muslim boleh mengheret lelaki masuk ke neraka bersamanya sekiranya mereka menjalani kehidupan tanpa berlandaskan syariat. Sikap wanita yang sering menunda untuk berubah konon menunggu sehingga 'sampai seru' adalah antara punca masalah. Sampai bilakah seru itu akan tiba sedangkan Allah s.w.t. sendiri berfirman yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib seseorang atau satu kaum itu, melainkan diri orang atau satu kaum itu sendiri mengubahnya."
- LELAKI BERGELAR AYAH
Apabila seorang lelaki bergelar ayah tidak mempedulikan kehidupan sosial anak-anak perempuannya di dunia, tunggulah apabila dia meninggal dunia kelak. Dia akan diheret ke neraka sekiranya anak-anak itu terjerumus ke lembah maksiat. Kesempatan diberikan di dunia untuk memberikan segala pengetahuan agama seperti mengajar anak bersolat, mengaji dan segala kebaikan yang dituntut dalam Islam tidak ditunaikan. Seorang ayah akan terseret ke neraka apabila membiarkan segala perilaku sumbang anaknya dengan mendiamkan diri atau bertindak menyokong kerana berasa bangga dengan kejayaan mereka biarpun ke arah maksiat.
Bukan itu sahaja, seorang ayah akan menerima akibatnya jika membiarkan anak perempuannya tidak menutup aurat dan berasa bangga pula melihat anaknya berpakaian seksi dengan mempamerkan bentuk tubuh kepada orang lain yang bukan muhrimnya. Seorang ayah dianggap dayus apabila mendiamkan diri malah menuruti kehendak anak dan dipersetujui pula oleh isterinya melakukan perkara maksiat. Sebenarnya, seorang ayah yang beragama Islam tidak cukup sekadar memberi segala kemewahan di dunia untuk anak mereka tanpa memikirkan dirinya akan ditarik oleh anak perempuannya ke neraka kelak atas segala perbuatan yang dilakukan di dunia ini.
- LELAKI BERGELAR SUAMI
Seorang suami yang baik akan bertanggungjawab terhadap isterinya dunia dan juga akhirat. Dia akan membimbing isterinya ke jalan yang benar dan diredhai. Jika suami beragama Islam tidak mempedulikan tindak-tanduk isterinya, dia akan membawa musibah terhadap dirinya di dunia dan akhirat.
Umpamanya, jika isteri dibiarkan bergaul bebas terutama di khalayak ramai dengan menghias dirinya bukan untuk suami, kemungkinan akan menarik pandangan lelaki yang bukan muhrimnya. Daripada pandangan mata, lama-kelamaan mungkin menambat hati.
Jika suami mendiamkan diri dan terus membiarkan si isteri demikian, mungkin isteri akan pergi lebih jauh kerana syaitan sentiasa menggoda keturunan Adam. Walaupun suami itu seorang yang baik, alim dan sentiasa beribadah dengan baik dengan tidakpernah meninggalkan solat malah tidak bertangguh, tidak meninggalkan puasa dan ibadah-ibadah lain, tidak bererti dia akan terlepas. Dia akan ditarik oleh isterinya ke neraka kerana gagal dalam membimbing isteri ke jalan yang diredhai Allah s.w.t.
- LELAKI BERGELAR ABANG
Jika ketua keluarga (ayah) telah meninggal dunia, tanggungjawab menjaga adik dan ibu terletak di bahu anak lelaki yang lebih tua (abang). Anak lelaki ini bertanggungjawab menjaga maruah wanita yang ada dalam rumahnya seperti ibu, kakak ataupun adik perempuannya selain isteri dan anak-anak perempuannya. Jika hanya mementingkan keluarganya sahaja dengan membiarkan adik perempuannya melencong daripada ajaran Islam, tunggulah kelak adiknya akan menarik dirinya ke neraka apabila berada di akhirat nanti.
- LELAKI BERGELAR ANAK
Apabila seorang anak lelaki tidak menasihati atau mengingatkan ibunya perihal kelakuan yang haram dan bertentangan dengan ajaran Islam, dia juga akan memikul tanggungjawab dan dipersoalkan di akhirat kelak. Dia tidak terlepas daripada tarikan ibunya ke neraka sekiranya tidak melakukan sesuatu untuk menghalang perbuatan buruk ibunya.
Dia tahu ibunya melakukan kemungkaran, mendengar ibu mengumpat, mencerca, maki hamun dan sebagainya tetapi membiarkan sahaja kerana memikirkan tidak wajar menasihati ibunya. Sikap itu adalah salah. Seorang anak boleh menegur atau menasihati orang tuanya tetapi mestilah dengan berhemah. Teguran itu jangan sampai menyakitkan hatinya. Jika dia tidak mahu berubah, cubalah usahakan sehingga dia sedar dan mengubah sendiri perbuatannya itu. Sekiranya masih juga tidak mahu berubah, kewajipan seorang anak sudah terlepas kerana telah memberitahu dan mengingatkan.
3 ulasan:
beratnya tanggungjawab seorang manusia bergelar lelaki kan...
nice entri.. moga kita dilindungi daripada perkara2 yg tidak baik...
berat pun xpe..kami lelaki sedia utk memunaikan tugas2 yg telah diamanahkn.. :)
Catat Ulasan