Rabu, 7 September 2011

Persoalan Yang Selalu Buat Para Isteri Keliru


    1. Apakah hak seorang suami dalam melarang/ menegah isteri daripada menziarahi ibubapanya?
    2. Apakah peruntukan undang-undang Islam dalam hak isteri menziarahi ibubapa/keluarga (tanpa izin suami)?
    3. Bukan sedikit isteri dalam dilema terpaksa taat kepada suami sehingga mengabaikan ibubapa. Benarkah ajaran Islam ada menyatakan ketaatan isteri berpindah kepada suami bila dia berkahwin?
    4. Bukan sedikit anak perempuan membelakangkan ibu bapa, atas alasan sudah bersuami, malah ramai yang beranggapan isteri adalah hak mutlak suaminya.
    5.  Bagaimana pula jika ibu bapa yang hanya mempunyai anak perempuan, adakah mereka hilang hak diziarahi anak (jika suami tidak membenarkan)?
    Akibat dilema inilah, ada isteri yang menyangka Islam sangat zalim kerana perkahwinan memisahkannya dengan ibu bapa dan keluarganya. Mereka merasakan Islam tidak adil dan banyak memihak kepada suami. Akibat dilema ini juga, ada ibu bapa merasa, rugi sungguh jika mendapat anak perempuan kerana apabila dia bersuami, dia sudah jadi hak suami dan ibu bapa tak dipedulikan lagi. Adakah ini ajaran Islam yang sebenarnya?
    Mengikut fahaman saya, taat kepada siapa pun kita harus melihat kepada keadaan dan situasi seseorang isteri. Kalau suami halang isteri daripada menziarahi atau menjaga ibubapa yang sakit, apakah isteri perlu taat hanya kerana takut masuk neraka kalau tidak taat?
    Ada suami yang beri kata dua kepada isteri, contohnya “Kalau kamu balik kampung ibubapa kamu, jatuh talak satu!”, atau isteri diugut begini, “Sekarang awak sudah menjadi isteri saya, jadi awak kena taat pada saya. Bukan taat kepada ibubapa awak. Kalau saya tidak benarkan awak ziarah ibubapa awak, awak tak boleh ziarah.”
    Dalam situasi di atas, apakah pilihan isteri? Sejauh manakah ketaatan kepada suami mengatasi ketaatan kepada ibu bapa? Apakah jatuh haram isteri (berdosalah) yang langgar perintah suaminya yang melarang dia menziarah ibubapa sakit (contohnya)?
    Teringat saya satu kisah suami diktator di slot cerekarama TV3 yang bertajuk 'Dosa Serupa'. Suami diktator begini layaknya diberi fasakh/khulu' sahaja! Jika sudah terang-terangan diktatornya, lebih baik suami itu tinggalkan sahaja. Ini adalah kerana, hilang berkah Allah di situ. Lalu apa yang hendak kita bawa balik ke kampung akhirat nanti? Mengapa pilih neraka dunia, kalau di akhirat pun tidak pasti dapat mengelak neraka akhirat? Pada masa itu sudah tidak boleh 'undo'. Seorang suami tidak sepatutnya zalim kerana menafikan hak isteri dan derhaka pula kepada ibu bapa mertua.
    Suami patut ada IHSAN dan EMPATI terhadap isteri, sebab itulah Allah SWT perintah suami agar bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, seperti dalam firman Allah SWT di dalam al-Quran, yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. 
    Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah an-Nisaa’ ayat 19)
    Dalam ayat al-Quran yang dipetik di atas, Ibn Kathir berpendapat bahawa ayat ini, “… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…” bermaksud : para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466)
    Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah WAJIB. Malangnya, berapa ramai yang ikut perintah Allah yang ini? Akibat mengabaikan perintah Allah yang ini, natijahnya amat teruk sekali. Bila suami tidak ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, maka, tidak hairanlah isteri tidak taat kepada suami. 
    Iyalah, jika suami ikut perintah Allah dan Rasul-Nya, secara automatiknya tentu dia juga menjaga hak-hak isterinya. Bila dia menjaga hak-hak isterinya, agak MUSTAHIL isterinya tidak taat kepadanya dan agak MUSTAHIL pula isteri tidak hormat kepada suaminya. Selalunya orang perempuan ini amat tinggi dengan tahap ketaatan dan kesetiaan mereka. Belas ihsan dan empati mereka lebih tinggi (dibanding lelaki), tetapi jika masih ada isteri yang tidak taat walaupun suaminya memenuhi tanggungjawap, adalah silap atau terputus ‘wayarnya’ di mana-mana...
    Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa. Rasulullah SAW juga menganjurkan agar setiap suami menggauli isteri dengan cara yang baik/maaruf. Ini jelas dapat dilihat dalam hadis baginda yang bermaksud, “Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
    Dalam hadis yang lain pula disabda baginda yang bermaksud, “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
    Boleh saja ada yang berkata, “Suami tak patut halang isteri ziarah ibu bapa, akan tetapi jika suami halang, isteri wajib taat. Ini kerana menjalinkan silaturahim bukan hanya dengan berziarah, banyak cara lain lagi.”
    Ziarah perkataan Arab bererti berkunjung ke~ atau pergi menengok, ada makna 'perjalanan' di situ. Ziarah tidak boleh disamakan dengan talipon/email/surat. Zaman Nabi dulu juga ada cara berhubung juga, saya tak tahu. Mungkin ada yang guna burung merpati, atau surat juga mungkin sudah ada. Saya kurang arif. Walau bagaimanapun ziarah adalah sunnah Nabi, tidak kiralah ziarah ibubapa, ahli keluarga, saudara mara dan saudara semuslim yang lain. 
    Ziarah kubur pula tidaklah boleh disamakan dengan melihat gambar kubur. Feeling itu berbeza. Tidak sama. Hikmah ziarah memanjangkan silaturrahim, sepertimana dalam sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
    Jika ziarah disamakan dengan talipon/email/surat, konsepnya sama dengan tengok aje laksa yang lazat dan ambil bau saja, TAK BOLEH makan ya...
    Kesimpulan
    Suami hendaklah berusaha supaya isteri dapat berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri. Isteri pula hendaklah menjalankan tanggungjawab kepada suami dan rumahtangga dengan sebaiknya. Suami tidak boleh mementingkan dirinya sendiri sekiranya isteri telah berusaha sedaya upayanya memenuhi tanggungjawabnya. Adalah tidak wajar seorang suami menghalang isteri daripada menziarahi ataupun berbakti kepada ibu bapanya. Dengan kata lain, seorang isteri ada tanggungjawab kepada Allah, diri, suami, anak dan ibu. Memutuskan hubungan antara anak dan ibu adalah perbuatan zalim dan berdosa. Islam tidak pernah menyuruh mana-mana orang berbuat perkara sedemikian.
    Ketaatan kepada suami hanya terdapat melalui hadis, tiada ayat dalam al-Quran yang jelas memperincikannya. Ketaatan kepada suami juga BUKAN MUTLAK tanpa kompromi. Sebaliknya, ketaatan kepada ibu bapa banyak disebut dalam al-Quran. Allah SWT menyuruh kita berulangkali supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Arahan cukup jelas selepas mentaati Allah tiada ketaatan yang lebih tinggi melainkan mentaati kedua-dua orang tua.
    Firman Allah SWT berkenaan berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang bermaksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. 
    Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra', ayat 23-24).
    Baginda Rasulullah SAW telah banyak berpesan agar setiap anak melakukan kebaikan terhadap kedua ibu bapanya di antara hadis Baginda daripada Anas bin Malik yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW apabila menaiki mimbar berkata: “Amin, Amin, Amin," lalu ditanyakan kepada Baginda atas perkara apa tuan ungkapkan amin? Baginda menjawab: Telah datang kepadaku Jibril lalu berkata: 
    “Wahai Muhammad kecelakaanlah bagi seseorang itu apabila disebut namamu yang mendengar tidak berselawat ke atas engkau, katakanlah wahai Muhammad, “Amin” , maka aku pun kata “Amin” , kemudian Jibril berkata lagi, kecelakaanlah seseorang itu yang memasuki bulan Ramadan tetapi pertemuannya tidak mendapat keampunan, katakanlah “Amin” , aku pun kata “Amin” , kemudian Jibril berkata: “Kecelakaanlah bagi seseorang itu dia bertemu dengan kedua orang tuanya, tetapi pertemuannya dengan kedua orang tuanya tidak melayakkan dia memasuki syurga.” (Ibnu Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:3, hlm: 50 ).
    Di samping itu, banyak lagi hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyuruh kita berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Keingkaran seseorang dalam mentaati ibu bapa boleh membawa kemurkaan Allah SWT. Tidak kurang banyak riwayat yang mengisahkan balasan ke atas golongan yang menerima balasan segera dan tunai daripada Allah SWT.
    Ingatlah, dari Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
    Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah SWT, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.
    Renung-renungkan...

2 ulasan:

duniaanita74.blogspot.com berkata...

asalamuaikum..selamat hari raya..kak ita dah singgah sambil follow..kak ita tertarik apa yg di perkatakan ..ada kebenaran..dan kak ita setuju...kita patut pandai menilai...

fieda berkata...

ibu..nk tanya hadiah contest kasih ibu arif tu ibu dh poskan ke...?sbb sya x dpt pun..tkut kalau ibu dh pos tp saya yg x dapat...:)

Borang Maklumat Hubungan

Nama

E-mel *

Mesej *

Apa kata Mereka?

Get widget here

Popular Posts

link

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...